Monday, April 23, 2007

Dulu X Sekarang

Pernahkah sesekali terfikir bagaimana kehidupan kita dalam tempoh 10 tahun akan datang??
Fikir itu, sudah banyak kali.. macam-macam dibayangkan apa akan berlaku pada masa itu.
Mestilah angan-angan kedudukan kewangan yang kukuh, mengembara seluruh dunia (seronoknya!!), kehidupan yang stabil dan macam-macam lagi yang terlintas dalam fikiran.
Katakanlah.. kita berada pada 10 tahun lepas, ie 1997. Adakah kita pernah terfikir kita akan akhirnya menjadi seperti ini, pada waktu ini, pada masa membaca tulisan ini???
Sudah tentunya ada yang akan dijawap dengan jelas: ya dan/atau tidak.
Ada juga jawapan yang kabur, malah ada juga yang tak terlintas dalam fikiran status pada masa ini akan tercapai.
Aku??
1997: berjaya dalam hidup, masuk menara gading di luar negara yang berprestij, lulus dalam bidang profesional, emm.. mungkin ambil perubatan atau kejuruteraan kot. mengembara di luar negara. Kumpul duit banyak-banyak dan macam-macam lagi (hanya diri sendiri yang ketahuinya saja..)
2007: realitinya seorang graduan IPTA tempatan yang masih menunggu bilakah akan dipanggil untuk peperiksaan lisan (viva) tesis sarjananya. mendirikan rumahtangga. bekerja yang mana orang-orang kampung kata "keje gomen". mendapati minatnya lebih tertumpu ke arah bidang akademik/penyelidikan kerana berasakan ianya lebih seronok dan mencabar kerana mencari jawapan bagi soalan kenapa? bagaimana? mengapa? benarkah? dan persoalan-persoalan lain..
Hakikat sebenar, sebanyak mana yang diimpikan untuk digapai di masa hadapan, ada kalanya ia dengan sendirinya akan mula berubah haluan pabila hati mula jelas dengan keinginan sebenar, pabila kekeruhan dalam fikiran mula jernih dan tenang serta pabila hati terbuka untuk menerima sesuatu yang luar daripada kebiasaan. Maka, dalam tempoh 10 tahun, perubahan tetap akan berlaku, sama ada mengikut sepertimana yang dirancang ataupun luar dari jangkaan diri sendiri.
Aku??
*tersenyum*
Banyak yang tak terjangka berlaku dalam tempoh 10 tahun ini.
Inilah kehidupan sebenar-benarnya.
Terima apa yang berlaku.
Berusaha untuk mengubah diri.
Kadangkala sesuatu yang bukan digemari/disukai/tidak menepati prinsip akan mengubah perspektif diri sendiri terhadap dunia ini.
Bukankah manusia sentiasa belajar setiap saat ia berlalu?

Friday, April 13, 2007

Oo.. kursus PJJ rupanya..

Rasanya sudah masuk dua bulan kerap sekali berulang alik ke tempat hubby. Almaklum, pabila sudah terikat kepada kursus PJJ- perkahwinan jarah jauh, mesti ada salah satu pihak perlu berkorban wang dan masa untuk memastikan ada masa yang dihabiskan bersama-sama dengan pasangannya.

Tidak dinafikan, malah rasanya amat maklum, keadaan yang dialami ini bukan sahaja segelintir individu yang merasa, tetapi rasa-rasanya (tanpa ada sebarang statistik daripada Jabatan Perangkaan untuk menyokong pernyataan berikut) kebanyakan pasangan mengalami keadaan ini. Bukan hanya bagi mereka yang baru sahaja mendirikan rumah dan tangga, tetapi turut melanda mereka yang telah lama melayari bahtera kekeluargaan.

Setelah memasuki alam pekerjaan, barulah tersedar bahawa perkara ini memang perkara lumrah dialami kebanyakan orang. Tertawa sendirian, ketidaktahuan mengenai isu ini kerana sudah terang lagi bersuluh, bunda memang surirumah sepenuh masa! Sudah tentunya kepekaan mengenai perkara ini amatlah rendah. Tak apa lah.. pujuk bunda. Sudah adat orang bekerja. Baru kahwin duduk jauh-jauh nak buat bagaimana. Ada rezeki nanti, dapat lah duduk satu rumah. Bila keluhan mengenai kesusahan hendak menyimpan wang sampai di telinganya, bunda memberi kata-kata: dah nak buat macam mana, ada dua periuk.

Ooo.. macam ini ke kehidupan orang PJJ? Sakit badan jadinya kalau nanti kena naik bas duduk di atas enjin!! (tiket tinggal seat paling belakang)